Assalamualaikum wbt, saya Syahrudin Bin Selamat. Saya sangat bersyukur kerana telah dilahirkan di muka bumi ini. Saya merasa sangat beruntung kerana dilahirkan dengan sembilan orang adik-beradik. Saya tinggal di Kampung Sentosa Batu 10, Sandakan, Sabah. Adik-beradik yang ramai membuatkan diri saya kaya dengan kasih sayang. Ibubapa saya bukan lah orang yang kaya dengan harta. Memang begitulah lumrah hidup di kampung jauh daripada kesedaran dalam pelajaran. Masyarakat kampung saya begitu miskin. Pekerjaan utama di kampung saya adalah nelayan sepenuh masa. Ayah saya juga merupakan seorang nelayan sepenuh masa manakala ibu saya hanya seorang suri rumah Saya tahu bukan senang seorang ayah membesarkan sembilan orang anak dalam keadaan kewangan yang tidak mencukupi. Hasil pernikahan ibu dan ayah saya lahirlah empat orang anak perempuan dan lima orang anak lelaki. Kami semua membesar dalam kehidupan sederhana dan kadang kala boleh dikatakan sulit juga. Ayah saya sedar bahawa pelajaran sangat penting untuk keluarga kami. Pendidikan mampu mengubah hidup kami ke arah yang lebih baik.
Kami semua mendapat pendidikan di sekolah dan ada yang sehingga peringkat Universiti. Kakak dan abang-abang saya semua memasuki asrama semasa mereka bersekolah. Hal ini dapat menjimatkan belanja persekolahan malah terdapat faedah yang lebih besar kepada mereka. Kami semua diajar untuk berdikari dan hidup berjauhan dengan keluarga. Kami diajar untuk jangan pernah putus asa terutamanya berkaitan dengan pelajaran. Kami semua maklum bahawa ayah kami tidak pernah putus asa dalam membesarkan kami sembilan orang.
Alhamdulillah, syukur kepada yang Maha Esa, yang Maha Kuasa, yang Maha Pemurah. Keluarga saya sekarang lebih maju ke arah yang lebih baik. Kami semua mendapat pendidikan dan berpeluang memasuki Universiti. Sekarang, abang saya sudah menjadi guru di sekolah menengah dan kakak saya menjadi guru di sekolah rendah. Empat orang adik-beradik sudah mendapat gelar ijazah sarjana muda dan seorang mendapat diploma kejuruteraan. Akhir kata, saya sangat sayang dengan keluarga saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan